Thursday, May 28, 2009

Tak boleh rahsiakan kemalangan pekerja

Tak Boleh Rahsiakan Kemalangan Pekerja Dari Pihak JKKP
Takut imej terjejas punca majikan tak lapor
Oleh Hussain Said
REMBAU: Kementerian Sumber Manusia mengingatkan majikan supaya tidak merahsiakan kemalangan yang berlaku di tempat masing-masing, sebaliknya melaporkan terus kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata tindakan majikan merahsiakan kemalangan yang berlaku boleh mengakibatkan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.
Beliau berkata, 50 peratus daripada 120 kes pendakwaan majikan di mahkamah tahun lalu bersangkutan kegagalan mereka melaporkan kemalangan yang berlaku di tempat masing-masing. "Denda tertinggi ke atas majikan yang melakukan kesalahan itu ialah RM100,000," katanya selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Di Sektor Pertanian dan Penternakan peringkat Negeri Sembilan di Institut Latihan Perindustrian, Pedas, dekat sini, semalam. Maznah berkata, antara faktor majikan tidak melaporkan kemalangan kerana bimbang dikenakan tindakan dan khuatir imej mereka akan terjejas jika kemalangan yang berlaku itu dilaporkan di media.
"Kita mahu majikan melaporkan kemalangan bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca ia berlaku sekali gus membantu mereka menguruskan kemalangan supaya kejadian itu tidak berulang," katanya. Maznah berkata, mengikut statistik JKKP, 44,918 kes kemalangan membabitkan pekerja dilaporkan berlaku tahun lalu dengan 746 kematian. "Kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja ialah 4.2 peratus atau bersamaan empat orang. Angka ini agak tinggi dan kita mensasarkan ia dapat dikurangkan bawah empat peratus,” katanya.

Wednesday, May 27, 2009

Kasut Tumit Tinggi Bahaya-CAP

PULAU PINANG - Berkasut tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita kerana selain menjadi sebahagian daripada fesyen, penampilannya akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi.Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S. M. Mohamed Idris berkata, kasut tumit tinggi direka untuk menolak dada ke depan dan punggung ke belakang sehingga spina dan pinggul terkeluar daripada kedudukan asalnya dan menimbulkan masalah kesihatan bukan sahaja kepada kaki tetapi keseluruhan badan.Katanya, CAP juga mendapati kasut tumit tinggi jika dipakai terlalu lama boleh menyebabkan kencing tidak lawas, masalah belakang dan tulang pinggul.''Selain itu ia juga boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.Menurut beliau, berkasut tumit tinggi selama bertahun-tahun akan menyebabkan tendon Achhilles menjadi pendek hingga menyebabkan sakit tumit.Tambahnya, memakai kasut tumit tinggi mengubah cara jalan seseorang dengan mengenakan pusat graviti ke atas bebola kaki dan meletakkan tekanan berlebihan sehingga 26 peratus pada lutut iaitu kes biasa osteoprosis.''Hasil kajian pakar pembedahan ortopedik dari Kolej Perubatan Baylor, Houston, Profesor Madya Dr. John Marymont, seseorang yang memakai kasut bertumit 2.5 inci memberi 50 peratus manakala kasut bertumit 3 inci memberi 76 peratus tekanan pada kaki.''Masalah lebih menyakitkan berkaitan pemakaian kasut tumit tinggi ialah neuroma iaitu kaki dipaksa masuk ke dalam kasut tumit tinggi yang ketat dan runcing di depan,'' katanya.Jelasnya, ia kemudian akan menekan saraf dan tisu mula terbentuk di sekitar saraf yang menyebabkan kesakitan sehingga pembedahan mungkin perlu dilakukan untuk memulihkannya.Kecacatan Haglunds juga, katanya, sering dialami wanita berkasut tumit tinggi yang mana berlaku pembesaran tulang bahagian belakang kaki sehingga kaki bengkak, merah dan menyakitkan.''Masalah yang biasa berlaku ialah pergelangan kaki terseliuh kerana sukar mengimbang badan kerana memakai kasut tumit tinggi.''Sehubungan itu CAP menasihati kaum wanita agar berhenti menyeksa tubuh mereka dengan mengelak kasut tumit tinggi yang boleh menyelamatkan diri daripada mengalami pelbagai masalah kesihatan,'' jelasnya.