Thursday, March 4, 2010

Risiko Paling Tinggi

Diacah risiko paling tinggi
Oleh NUR AISHAH MOHD. AMIN
BAGI mendapatkan sudut foto terbaik operator kren di tapak pembinaan, jurugambar Kosmo! Nooradzrene Mohd. Noor atau lebih mesra dengan panggilan Bob memijak satu demi satu anak tangga keluli untuk sampai ke kabin kren. Bukan satu atau dua besi tetapi jumlahnya hampir 150 kerana kabin itu berada pada ketinggian 24 meter atau menyamai bangunan empat tingkat. Atas faktor keselamatan penulis menunggu Bob di bawah. Beberapa meter di kepala Bob, operator kren Nooradzley Mohd. Nor, 35, sudah pun hampir sampai ke kabin kren di tapak pembinaan di Puchong, Selangor itu. Selepas beberapa minit, penulis mendongakkan kepala apabila kelibat kedua-dua mereka keluar dari kabin menuruni anak tangga. Sebaik memijak tanah Bob memberitahu "Nak turun sebenarnya lebih susah." Kenapa? Rupa-rupanya ramai yang tidak pernah terfikir untuk turun dari kabin kren kita perlu sentiasa melihat ke bawah. Berada di ketinggian empat tingkat dengan anak tangga yang menegak rasa gayat sudah menguasai diri. Nooradzley kemudian bersuara: "Bayangkan kren berusia tiga tahun buatan China ini boleh dinaikkan sehingga mencapai ketinggian bangunan 40 tingkat." "Kalau angin bertiup batang besi yang dipanjat itu pun bergoyang. Kalau nak turun bagi yang tak biasa lagilah gayat."

BEKERJA sebagai operator kren sentiasa berdepan dengan risiko sama ada ketika mahu memulakan atau menamatkan tugas.

Bagi operator kren yang berasal dari Kuala Lumpur itu, pengalaman tersebut hanyalah secebis daripada pengalaman yang pernah dilalui selama lebih sepuluh tahun dalam bidang itu. Bukan sehari dua tapi itulah rutin lelaki itu setiap hari selama berbulan-bulan di tapak pembinaan. Sehubungan itu kalau dia bertugas di ketinggian kabin 30 tingkat dia terpaksa membuang air kecil dan besar di dalam kabin kecil tersebut sahaja. Di dalam kabin itu hanya ada alat kawalan tangan yang membuatkan anda seolah-olah sedang memandu kapal terbang. Tetapi, alat kawalan itu berperanan mengawal pergerakan kren.
Pertaruhkan nyawa

"Hendak buat macam mana, kalau dah naik memang tidak larat lagi nak turun dan naik semula. Bayangkan nak panjat kren setinggi 30 tingkat itu sahaja sudah mengambil masa lebih daripada setengah jam. Penat lagi, jadi terpaksalah cari apa-apa yang ada untuk buang air besar," kata Nooradzley. Di sebalik cerita rutin operator kren itu, apakah pula keadaan sebenar pekerjaan atas awan itu sendiri? Tidakkah Nooradzley melihat kerjaya itu penuh dengan risiko? Sambil mengukir senyuman Nooradzley berkata, sebenarnya kalau diikutkan sebaik melangkah masuk ke tapak pembinaan hingga menaiki kren semuanya berisiko. Risiko yang dikatakan itu pula melibatkan nyawa. "Semasa naik kren itu pun dah bahaya. Kren itu tiada penghadang, ia adalah besi kosong yang bergoyang apabila ditiup angin," kata Nooradzley. Sambil memberitahu topi keselamatan adalah alat paling penting sepanjang berada di tapak pembinaan, Nooradzley menambah ruang di dalam kabin yang sempit juga menjadikan proses pertukaran syif agak berbahaya. "Ruang kerja kita sempit sebab kabin hanya boleh memuatkan seorang petugas sahaja. Apabila operator lain naik dan saya turun kami akan berselisih. Itu pun sangat berbahaya kren pasti bergoyang-goyang," katanya yang memulakan kerja seawal pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.

SIGNAL Man berperanan sebagai penunjuk arah kepada operator kren.

Selain itu, kata Nooradzley keadaan di atas kabin yang terdedah juga memungkinkan pelbagai bahaya tanpa diundang. Cerita beliau lagi, sejak menjadi operator kren sedekad lalu, sudah beberapa kali kren disambar petir. Antara kejadian paling berbahaya apabila kilat itu menyebabkan peralatan dan sistem komputer dalam kabin terbakar akibat litar pintas.
"Mujur percikan apinya kecil. Saya duduk diam-diam di dalam kabin. Reda dan berdoa sehingga keadaan selamat. Saya tidak boleh turun sehinggalah ribut petir berhenti kerana jika tidak saya berisiko terkena renjatan jika turun ketika disambar petir," ujar lelaki yang baru berumah tangga tahun lalu. Tambah Nooradzley, tugas operator kren akan dibantu oleh seorang signal man. Dia berperanan sebagai penunjuk arah kepada operator untuk mengendalikan kren.
"Kalau tak ada orang buat isyarat dari bawah ketika kami mengendalikan kren mengguna peralatan dengan sistem komputer di dalam kabin, mungkin kami akan langgar semua benda. Bukan bangunan yang tengah bina, tapi mungkin juga pekerja yang berada di tapak pembinaan," katanya. Selain itu menurut Nooradzley, model dan jenis kren ditentukan mengikut panjang kren kemampuan muatan sesebuah kren mengangkat barang.
Rasa gayat

Difahamkan kebanyakan kren yang ada di negara ini dibeli dari Jerman, China dan Perancis.
Sementara ukuran terpanjang sebuah kren ialah di antara 50 hingga 60 meter dengan kapasiti mengangkut bebanan kira-kira 1.3 tan pada satu-satu masa. Sekiranya sesebuah syarikat membina bangunan yang tinggi seperti Menara Berkembar Petronas, kren akan dibina pada pada aras tertentu bangunan itu seperti di tingkat 30. Walaupun kren dilihat seperti rangka besi, semata-mata tetapi harga bagi setiap kren dianggarkan di antara RM500,000 hingga mencecah berjuta-juta ringgit. Kata Nooradzley, untuk menjadi operator kren individu itu hanya perlu mengambil lesen yang daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selama empat hari. Selama kursus itu, calon akan dilatih secara terperinci cara-cara pengendalian kren selain ciri-ciri keselamatan ketika berada di dalam kren dan cara mengendalikannya. "Dulu tak ada kursus seperti ini, pengurus projek hanya tawarkan pekerjaan itu jika kita ada pengalaman dan kemahiran. Tapi sejak awal 2000 lalu, NIOSH sudah sediakan kursus itu dengan yuran RM1,600," ujarnya yang mendapat cuti dua hari seminggu.
Dalam pada itu, Jamal Yusof, 34, seorang operator kren juga berbangga dengan tugas yang dilakukan itu biarpun ia mempertaruhkan nyawa. Jamal yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini menikmati kehidupan mewah seperti seorang yang berkelulusan ijazah.
"Kerja bahaya macam ini tak ramai orang nak buat, jadi kami buat. Semua risiko kami tanggung sendiri asalkan keluarga dan anak-anak dapat hidup selesa," ujar Jamal sambil memberitahu pendapatan sebulan sebagai operator kren mencecah sehingga RM5,000."Bagi yang ada pengalaman dan mengendalikan kren yang besar, gaji mereka bermula dari RM10,000 ke atas.

NOORADZLEY menceritakan sistem komputer dalam kabin terbakar akibat litar pintas selepas disambar petir.

Insurans operator kren disediakan oleh majikan. Jika berlaku kemalangan pada operator, majikan akan menanggung segala kos perubatan. Selain gemar dengan budaya kerja bebas sebagai operator kren, Jamal memberitahu, dia mempunyai minat terhadap peralatan mesin.
Bagaimanapun, Jamal tidak nafikan ada perasaan gayat dengan ketinggian pada awal penglibatan kerjaya sebagai operator kren. "Memang setiap hari ada perasaan takut, sebab kita saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari saya ada di dalam kabin itu. "Peralatan dalam kabin semua sudah pakai sistem elektronik, tinggal lagi kita mengawal bebanan yang diangkut itu sahaja," kata Jamal yang sudah bekerja selama sedekad. Menurut bapa kepada tiga anak itu, di belakang kren terdapat bebanan yang berperanan sebagai pengimbang. Ia berfungsi untuk menstabilkan barang yang diangkut. "Biasanya bebanan yang diletak itu ialah batu konkrit. Ada enam keping batu konkrit dan setiap keping batu konkrit itu beratnya satu tan. "Yang penting mesti seimbang, kalau belakang ringan, barang yang diangkat pula terlalu berat, kren boleh terbalik. Kalau kren itu terbalik, operator kren memang akan melambung sekali," ujar Jamal yang berasal dari Johor Bahru ketika ditemui baru-baru ini. Antara barang-barang yang diangkut menggunakan kren adalah bahan-bahan yang digunakan di tapak pembinaan seperti konkrit, besi dan longgokan sampah di tapak pembinaan. Selain itu, Jamal dan Nooradzley mempunyai pengalaman manis untuk dikongsi bersama. "Kami pernah melihat kemalangan dan kejar mengejar penjenayah dengan pihak berkuasa dari atas kabin. Biasanya kami akan laporkan kepada pihak berkuasa.

Saturday, February 6, 2010

Tangki Kapal Meletup

2 anak kapal terpelanting
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
JOHOR BAHRU: Dua anak kapal tangki minyak MT Hercules maut selepas terpelanting beberapa meter ke udara dan jatuh ke atas dek akibat letupan ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal berkenaan, kira-kira tiga batu nautika ke selatan Pulau Kukup, Pontian, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sylvester Keterim, 24, berasal dari Tamparuli, Sabah dan Shezi Chang Shiah Joo, 22, dari Sandakan, Sabah maut akibat cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata letupan itu turut mengakibatkan kebakaran berlaku di atas kapal, namun dapat dipadamkan kira-kira 30 minit kemudian oleh anak kapal berkenaan. “Kapal berkenaan berdaftar di Pelabuhan Klang dan berada di lokasi kejadian sejak hampir dua bulan lalu untuk kerja ubah suai dan naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Sementara itu, Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh, berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian di kapal tangki minyak itu daripada pusat kawalan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) jam 9.05 malam. Katanya, KM Bidong dan bot Kilat 12 digegaskan ke lokasi kejadian selain meminta bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Jabatan Laut. “Ketika kejadian, terdapat 24 anak kapal dan 20 pekerja kontrak di dalam kapal berkenaan terdiri daripada warga Indonesia, Filipina, India selain pekerja tempatan. “Difahamkan dua pekerja sedang melakukan kerja kimpalan pada satu daripada tangki minyak apabila tangki berkenaan tiba-tiba meletup,” katanya. Menurut Che Hassan, pasukan mencari dan menyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati kebakaran sudah dipadamkan dengan bantuan anak kapal. Katanya, mayat dua anak kapal terbabit dibawa keluar dari dalam kapal kira-kira jam 10.15 malam dan dibawa ke jeti Kukup oleh bot Kilat 12 sebelum diserahkan kepada pihak polis.“Sehingga kini, kami belum mengetahui punca letupan. Bagaimanapun, semua anak kapal yang terselamat masih berada di atas kapal itu. “Kapal MT Hercules juga dipantau selama 24 jam bagi memastikan ia benar-benar selamat dan tiada lagi berlaku kebakaran,” katanya.

Tuesday, January 19, 2010

Dimana Silapnya

RM400 pun tak mampu'

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir wanita yang mendakwa kad pengenalannya dicuri bagi pembelian sebuah Toyota Estima diisytiharkan bankrap selepas disaman Bank Muamalat Malaysia Berhad kerana gagal membayar balik pinjaman kenderaan itu. Ketika ditanya, Halimaton berkata, Penolong Kanan Pendaftar, Zaitun Anuar membuat keputusan tidak membenarkan kesnya ditangguh lagi dan menasihatinya mencari peguam. Peguam bank, Mohamad Fahmi Mat Radzi, berkata pihaknya mengemukakan petisyen pemiutang terhadap Halimaton bagi menuntut RM167,170.11 sehingga 19 Februari 2008. Tuntutan itu berkaitan pembelian kereta Toyota Estima 2.4, yang didakwa Halimaton dibeli oleh orang lain, tetapi menggunakan kad pengenalannya yang hilang sebulan sebelum itu. Ibu kepada lima anak berusia 3 bulan hingga 20 tahun itu bekerja sebagai penjaga parkir di KL Sentral. Katanya, peguam yang dihubunginya sebelum ini meminta bayaran RM400 sebelum kes itu dibawa ke mahkamah. “Manalah saya ada duit sebanyak itu. Saya tidak mampu. Tengoklah nanti macam mana. Mungkin cuba tukar peguam lain,” katanya sambil menitiskan air mata. Ditanya apakah tindakan polis selepas laporan dibuat, beliau berkata: “Polis cuma cakap mereka sedang siasat.” Pada 18 Disember 2007, Halimaton membuat laporan di Balai Polis Daerah Kajang, mengenai namanya digunakan untuk membeli kereta dan pernah mendapat saman walaupun tidak mempunyai lesen memandu, manakala berita mengenai tersiar di akhbar pada 24 Oktober tahun lalu. — Bernama

Tuesday, December 29, 2009

149 syarikat di dakwa tahun ini abaikan keselamatan pekerja

149 syarikat di dakwa tahun ini abaikan keselamatan pekerja
KUALA LANGAT 29 Dis. — Sebanyak 149 syarikat yang mengendalikan jentera berat seperti dandang stim, pengandung tekanan tak berapi, lif dan kren bergerak didakwa di mahkamah tahun ini atas kesalahan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja. "Jumlah ini merangkumi kes yang sudah selesai dan masih lagi dalam prosiding mahkamah,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, dan menambah jumlah itu membabitkan kilang tempatan dan antarabangsa. Bercakap kepada pemberita selepas melawat Kilang Golden Jomalina Food Industries Sdn. Bhd. di sini hari ini, beliau berkata, kementerian melakukan sebanyak 114,000 pemeriksaan ke atas syarikat yang mengendalikan peralatan mesin dan jentera bagi tahun ini. - Bernama

Monday, December 14, 2009

Monday, December 7, 2009

Terima Pampasan PERKESO


Mangsa ragut terima pampasan Perkeso

KUALA LUMPUR: “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu meringankan beban saya sekeluarga” kata mangsa ragut, Noriha Abdul Rahman, 29, ketika ditemui pada majlis penyampaian cek oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), semalam.Cek Pengurusan Jenazah bernilai RM1,500 itu disampaikan sendiri Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, Aleyes Meh.Dalam kejadian awal minggu ini, Noriha cedera di muka, patah kaki dan tangan kanan manakala suaminya, Abdul Rahman Mohd Khadla‘din, 34, meninggal dunia apabila motosikal ditunggangi mereka hilang kawalan dihimpit dan ditendang dua peragut lalu merempoh tembok di Jalan Perkasa Dua, Taman Maluri, Cheras.Susulan kecederaan dialaminya, Noriha kini mendapatkan rawatan di HKL.Sementara itu, Aleyes berkata dia berhak menerima wang itu kerana arwah adalah pencarum Perkeso yang memenuhi syarat kelayakan ketika bekerja semasa hayatnya.“Warisnya bukan saja menerima wang RM1,500 untuk tujuan pengurusan jenazah, malah balunya berhak menerima Faedah Pencen Penakat RM350 sebulan.“Balu mangsa akan menerima pencen ini sepanjang hayat manakala anaknya sehingga berusia 21 tahun dan jika anak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, pencen akan dibayar sehingga mendapat ijazah pertama” kata Aleyes .

Pastikan Keluarga Mendapat Hak Anda...

Friday, December 4, 2009

Terowong Air Bawah Tanah

Syor bina paip di darat ganti terowong air bawah tanah

Merujuk pandangan seorang pakar kaji bumi dalam Buletin Utama TV3 jam 8 malam, Jumaat lalu mengenai ramalan bakal berlakunya gempa bumi berskala lebih besar berbanding kekuatan 3.3 pada skala Richter yang melanda Bukit Tinggi, Pahang pada jam 9.41 pagi pada tarikh sama. Katanya, jika ramalan itu berlaku maka Empangan Batu, Klang Gate, Semenyih dan Langat akan terjejas dan boleh membawa mudarat kepada rakyat dalam lingkungan 80 kilometer (km) dari tempat kejadian (Bukit Tinggi). Berdasarkan kebimbangan yang bakal berlaku pada masa depan, saya ingin kembali kepada saranan pembaca yang menulis dalam ruangan ini setahun dua lalu yang meminta Kerajaan Pusat menangguhkan projek pembinaan terowong air sepanjang 45km di bawah jajaran Banjaran Titiwangsa.
Ia mencadangkan Empangan Kelau juga dibatalkan, sebaliknya menggunakan alternatif lain seperti pembinaan paip atas darat (overland pipe) sebagai kaedah lebih wajar dan selamat untuk memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor kelak. Sebenarnya saya bersetuju dengan tulisan pembaca itu yang mengemukakan pandangan beberapa pakar alam sekitar, kaji bumi tempatan yang sudah menjangkakan fenomena yang bakal berlaku ini dan pada masa itu tidak diambil maklum pihak berwajib. Saya ingin meminta jasa baik Perdana Menteri agar dapat membuat suatu keputusan yang tepat dan cepat demi keselamatan penduduk Lembah Klang, Pahang, Negeri sembilan dan Perak berkaitan pandangan disuarakan pakar terbabit.

Thursday, December 3, 2009

Wednesday, November 25, 2009

JKR laksana piawaian baru bagi projek 2010

Lewat siap 2 bulan dianggap projek sakit

Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
25.11.2009
KUALA LUMPUR: Mulai Jun tahun depan, semua projek pembinaan kerajaan yang lewat 20 peratus atau dua bulan daripada tempoh patut siap dikategorikan sebagai projek sakit, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor. Katanya, projek sakit akan dipantau rapi supaya dilaksanakan sebaiknya, jika kontraktor masih gagal menyiapkannya kerajaan akan membatalkan kontrak berkenaan bagi membolehkan ia ditender semula.Beliau berkata, penguatkuasaan tarikh itu selaras pekeliling baru Kementerian Kewangan 1 September lalu yang mahu projek lewat 20 peratus atau dua bulan daripada tempoh patut siap dikategorikan sakit oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan. "Selepas melihat perkara ini, (kementerian berpendapat) ia tidak boleh dilakukan serta-merta, oleh itu, kementerian meminta pekeliling digunakan Jun 2010, kerana bimbang ramai kontraktor terjebak dalam kumpulan ini (projek sakit). "Tujuan kita melaksanakannya bukan menyusahkan atau menghukum mana-mana kontraktor, perlu diingat setiap kali kita beri kontrak, kerajaan mahu lihat hasil (pemberian) kontrak itu, tidak terlintas dalam pemikiran kementerian atau kerajaan untuk melihat projek itu gagal," katanya pada sidang media selepas Jamuan Deepavali di kementeriannya, semalam.Shaziman berkata, sebelum ini klasifikasi projek sakit merujuk kepada kontraktor yang lewat menyiapkan projek 30 peratus atau tiga bulan dari masa ditetapkan.

Sunday, November 8, 2009

Thursday, November 5, 2009

Tuesday, October 27, 2009

Monday, October 12, 2009

Guan Eng kesal Jambatan Kedua lewat

GEORGETOWN - Ketua Menteri Lim Guan Eng kecewa dengan isu kelewatan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dikatakan dapat disiapkan lewat 2012 tetapi kini mengalami kelewatan setahun lagi. Guan Eng berkata, beliau hampa kerana ia sepatutnya disiapkan segera untuk kebaikan rakyat di negeri ini dan kelewatan itu menunjukkan tanda tidak baik bagi perkembangan Pulau Pinang. “Pihak berkenaan seolah-olah berdolak dalik berhubung tarikh sebenar jambatan berkenaan dapat disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Tahunan DAP Pulau Pinang di sini, semalam. Guan Eng mengulas berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memaklumkan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kini sedang dalam pembinaan dijangka siap setahun lewat iaitu daripada 2012 kepada 2013. Nor Mohamed dilaporkan berkata, kelewatan itu tidak dapat dielakkan kerana terdapat beberapa pengubahsuaian yang terpaksa dilakukan terhadap reka bentuk jambatan berkenaan. Projek pembinaan jambatan kedua yang bernilai RM4.3 bilion itu sepatutnya siap sepenuhnya pada pertengahan 2012 tetapi kini di bawah penjadualan semula, ia dijangka siap sebelum April. Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melewatkan pembinaan jambatan berkenaan. Diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak yakin pembangkang akan berjaya sebagai parti komponen, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) sepatutnya menjaga hal parti mereka sendiri. Katanya, BN perlu memperbetulkan parti mereka sendiri berbanding menunding jari terhadap Pakatan Rakyat kerana dalam BN sendiri parti komponen mereka bergolak sama ada MIC, MCA atau UMNO.